Friday, January 29, 2010

Sonata Musim Salju

Teringat aku pada tahun 2002/2003 bila Drama “Winter Sonata” keluaran Korea Selatan muncul Malaysia. Aku bukanlah minat sangat. Tetapi pada masa tu fenomena siri TV dan wayang gambar Korea terutama cerita-cerita romantik dan seram banyak dimainkan di kaca TV dan layar perak. Lebih-lebih lagi isteri aku juga peminat tegar cerita Korea ini, turut tidak lepaskan peluang menonton Winter Sonata pada setiap petang. Di pejabat pun ramai memperkatakannya terutama golongan wanita. Dan lagunya sering dialunkan di radio serta telah dinyanyikan semula dalam versi bahasa Malaysia. Memang syahdu dan mengasyikkan.
Sebut pasal Korea ni, akhir tahun 70’an dan awal tahun 80’an bila ada Pesta Bola Merdeka pasti pertembungan antara pasukan Malaysia dan Korea Selatan yang ditunggu-tunggu. Pasukan kita boleh dikatakan jaguh di Asia dan sentiasa dapat menewaskan Korea Selatan. Bukan sahaja bola sepak, ekonomi dan kepesatan pembangunan Malaysia berbanding Korea Selatan, Malaysia sememangnnya jauh ke depan. Tapi itu, 30 tahun dulu. Masuk ke tahun 90an dan sehingga kini, Korea telah memecut laju memintas kita. Bukan hanya bola sepak tetapi dalam serba-serbi. Ekonomi Korea Selatan begitu pesat berkembang. Tenaga kerjanya tiada tandingan. Di Malaysia, mercu tanda KLCC dan Jambatan Pulau Pinang banyak menggunakan kepakaran dari Korea. Daewoo, Hyundai, KIA, Samsung, LG adalah antara jenama unggul dan produk dari Korea yang bertaraf dunia banyak dipasarkan di Malaysia. Kenapa Korea jauh ke depan dan Malaysia agak ketinggalan berbanding Korea Selatan. Pada hematku, mungkin Korea banyak belajar dari jirannya Jepun. Sikap rakyatnya yang boleh dikatakan “berdisiplin” dan “kerja kuat”. Saudara Ann Wan Seng banyak menghuraikan dalam bukunya “Rahsia Bisness Orang Korea” (2002).
Bukanlah aku ingin mengagung-agungkan produk dan negara Korea Selatan. Sebagai rakyat Malaysia, cinta kepada tanah air sendiri adalah sebahagian daripada iman. Tidak dinafikan Malaysia juga ada kelebihan dan keunikan tersendiri. Walau bagaimanapun sekadar ingin berkongsi pengalaman selama 5 hari di bumi Winter Sonata ini. Yang baik, kita amalkan, yang buruk kita tinggalkan.
Disember 2009 sebelum Krismas, aku berkesempatan ke Seoul, Korea Selatan atas undangan SAMSUNG, syarikat elektronik terbesar di Korea, malah antara syarikat terbesar di dunia. Peluang ini hanya datang sekali dalam seumur hidup yang mungkin tidak boleh dilepaskan. Perasaan memang teruja, lebih-lebih lagi bila menggambarkan drama Winter Sonata tersebut. Almaklum tidak pernah hayatku merasai 'real' salji.

Incheon International Airport


Sebaik saja menjejaki kaki di Incheon International Airport, syukur Alhamdulillah tidak terhingga kerana kami berjaya mendarat dengan selamat. Indah sekali airport ini. Dipinggir laut dah hampir sejam perjalanan ke bandar Seoul. Lapangan terbang ini amat besar dan telah diubahsuai terutama sebagai persediaan Korea menganjurkan Piala Dunia 2002 yang lalu. Dulu semasa mantan PM kita Tun Dr Mahathir memindahkan Lapangan Terbang dari Subang ke KLIA, Sepang ramai rakyat mengeluh termasuk aku, kenapalah buat KLIA jauh sangat. Menyusahkan rakyat. Nak pergi ke sana pun jauh dan tambang mahal. Tetapi bila perhatikan beberapa lapangan terbang yang lain yang pernah aku jejaki seperti Incheon Korea dan Heathrow London (tersibuk di dunia) padanlah ia dibuat jauh dari bandar. Kebanyakkan airport terbesar di seluruh dunia sememangnya dibuat jauh dari bandar. Ini bertujuan bagi memajukan kawasan setempat dan juga untuk pembesaran di masa-masa akan datang. Idea PM memang jauh ke depan. Kalau tak ada KLIA, Sepang aku rasa tak wujud Putrajaya. Bandar Nilai pula tidak membangun seperti sekarang. Litar F1 Sepang pun tak ada juga. Lebih-lebih lagi Desa Pinggiran Putra yang aku tinggal sekarang pun mungkin tidak wujud dalam peta Malaysia.
Penat pula menulis, sekadar berkongsi gambar yang memberikan seribu makna.

Taman Tema Everland .. ala-ala Disneyland gitu. Juga kepunyaan Syarikat Samsung

Bersama Rakan Setugas di Everland

Berada di koc tengah bullet train. Cuba tengok ekornya. Panjangnya...

Kobis Bunga atau Kimci. Tapi yang ni boleh makan ke?

Bersiap-siap nak posing di depan SAMSUNG HQ


Kat Malaysia ada Jln Duta. Di Korea ada Doota. Ala-ala SOGO gitu..

Singgah sebentar di Arabian Restaurant (halal). Pekena nasi arab. Restoren kepunyaan warga Iraq yang lari dari perang. Tapi awas di sebelah tu ada bar non-halal.


Kereta keluaran Sykt SAMSUNG. Semua ada ...

The Shilla Hotel. Ini pun Samsung punya.
Kediaman rasmi delegasi Malaysia

HwangDong Market. Syurga beli-belah Sutera Korea.
Terbaik di dunia dan murah lagi.

Di sini jambatan.. di sana pun jambatan.. Banyaknya jambatan!

Teksi Korea. Kereta tempatan Hyundai dan Kia

Pahlawan Korea di depan istana. Tak pernah senyum!

Peninggalan Penjajahan Jepun. Istana dikelilingi tasik membeku. -5 darjah Celcius katakan.


Kesimpulannya 15 perkara menarik di Korea untuk dikongsi bersama:

1. Highway di Korea 5 lorong satu hala. Maknanya pergi-balik 10 lorong. Besar sungguh!! Tapi sungguhpun 5 lorong, kesesakan tetap berlaku terutama waktu pagi semasa ke tempat kerja. Lebih dasyat dari Malaysia. Uniknya, highway tersebut tiada 'tol gate' atau palang. Pemandu pasti berhenti untuk membayar tol sebab atas sikap berdisiplin. Kalau tak bayar, esoknya dapat surat saman. Kalau di Malaysia, SmartTag pun ada palang. Tempat bayaran tunai pasti dipecut laju kalau tak ada gate sebab mentaliti kita semua nak percuma & tak nak bayar tol.
2. Orang Korea pakar dalam pembinaan jambatan. Sebab itu, banyak sangat jambatan merentasi sungai-sungai walaupun jaraknya agak dekat antara satu sama lain. Uniknya landasan kereta api pun dibuat atas jambatan dilereng-lereng bukit atau gunung. Penjagaan alam sekitar amat dititikberatkan.
3. Kereta api laju (bullet train) adalah pengangkutan biasa di sana. Uniknya train tersebut sangat panjang. Anggaran saya 2-3 kali ganda dari express wau KTMB. Perjalanan saya dari Seoul ke Gumi jaraknya 400km (umpama KL ke Kangar) hanya memakan masa 2 jam sahaja.
4. Ibu Pejabat SAMSUNG Electronic terletak di Suwon, Korea. Jika diperhatikan kompleks pejabat ini seperti seumpama sebuah kompleks Universiti. Terdapat padang bola sepak, kompleks sukan dan bangunan pejabat yang menempatkan lebih 20,000 pekerja. Uniknya 2/3 daripada jumlah pekerja adalah dikhaskan untuk kerja-kerja R&D.
5. Sayur Kimci di Korea atau kobis (cabbage) di Malaysia merupakan hidangan wajib untuk dimakan dengan nasi. Ibarat budu, cencalok dan sambal belacan bagi pelengkap selera. Uniknya kimci di Korea bermacam-macam warna dan juga sebagai pokok hiasan.
6. Barangan elektronik dan kenderaan dari negara lain seperti Jepun dan Eropah jarang kelihatan di Korea. Rakyat Korea begitu loyal dengan produk ciptaan mereka. Uniknya kenderaan berjenama SAMSUNG pun ada. Kebanyakkan kenderaan adalah bersaiz besar sesuai dengan jalan rayanya lebar dan iklim 4 musim di sana.
7. Sotong dalam bahasa Malaysia adalah sejenis hidupan laut. Tetapi awas, bila di Korea sotong bermaksud 'Tahi Lembu'. Uniknya sotong di Korea dimakan hidup-hidup dan bersaiz besar (saiz sotong kurita). Jari-jari sotong dipotong kecil dan dimakan begitu saja macam cacing bergerak. Kalau anda tergamak makan, silakan!!.
8. Bahasa Korea adalah sangat diutamakan sama seperti dengan negara Jepun. Uniknya, apabila soerang pekerja SAMSUNG membuat slide presentation kepada kami beliau dengan fasih berbahasa Inggeris. Tetapi bila sesi soal jawab, beliau sepatah pun tidak memahami soalan yang ditanyakan dalam bahasa Inggeris. Kena ada translater. Mungkin beliau sudah hafal slide tersebut.
9. Orang Korea semamangnya kuat bekerja. Ada KPI sendiri. Uniknya jika KPI tidak tercapai mereka sanggup berhenti kerja dan ada juga bunuh diri. Kadar bunuh diri di Korea antara tertinggi di dunia sama seperti negara Jepun. Bekas PM tahun lepas pun telah bunuh diri. Tapi itu ada skandal lain.
10. Terdapat jalan raya di Korea dahulunya berasal dari sebatang sungai kemudiannya ditimbus dan dikeringkan untuk dijadikan jalan. Uniknya, jalan tersebut telah dijadikan sungai semula dan melalui bandar Seoul. Sungai tersebut amat jernih dan bersih hinggakan menjadi tempat perkelahan bagi rakyat Korea. Kalaulah Sungai Gombak dan Sungai Kelang sedimikian rupa, alangkah bertuahnya kita.

Tuesday, January 26, 2010

Fikirkan Sejenak

Apabila Hassan Al-Basri ditanya: "Apa rahsia zuhudmu di dunia ini? Beliau menjawab, aku tahu rezekiku tak akan diambil orang lain, kerana itu hatiku selalu tenang. Aku tahu amalku tak akan dikerjakan orang lain, kerana itu lah aku sibuk mengerjakannya. Aku tahu Allah Ta'ala selalu memerhatiku, kerana itulah aku malu jika Allah melihatku sedang dalam maksiat. Dan aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk untuk hari pertemuanku dengan Allah Azza Wa Jalla".
Subhanallah.. Begitu mendalam maknanya. Fikir-fikirkan bagi diri kita. Kemana hala tuju kita. Rezeki yang ada sentiasa tidak cukup. Kalau boleh nak lagi.. Kekadang rezeki orang lain pun kita nak sapu. Kita selalu pandang orang yang berada di sebelah atas kita sehingga terlupa orang di sebelah bawah. Dalam kegawatan sekarang ini ramai antara kita tidak dapat bonus. Maka ramai yang pakat maki, sumpah seranah majikan atau kerajaan. Sedangkan ramai lagi yang merempat di luar sana menganggur, diberhentikan kerja, bencana alam, masalah itu-ini. Pasal gaji tak payah fikir sangat.. gaji masuk bulan-bulan. Sedangkan ramai lagi di luar sana belum tentu mendapat rezeki macam kita. Kais pagi makan pagi.
Fikirkan juga. Kalau Allah jemput kita esok, adakah kita jamin amalan yang ada sekarang mencukupi dan boleh bawa kita ke syurga? Terlepas siksaan kubur? Kalau tiada jaminan, habis tunggu apa lagi.. Keras sungguh hati kita. Berapa banyak kita memohon istighfar (keampunan) Allah dalam sehari? Banyak manakah amalan dan ibadah kita. Kita masih leka seolah-olah kita lambat lagi nak mati. Sedangkan kubur selalu kata mari.. rumah kata pergi.. fikirkan bersama...

Wednesday, January 20, 2010

EMM.. ENAKNYA SUSU IBU

Sejak kebelakangan ni talian Celcom Broadband di rumah ambo sering terganggu. Asyik terputus-putus. Kekadang tak boleh connect langsung. Makanya wacana di alam cyber ini tertangguh buat sekian lama. Minggu ni banyak sangat promosi Maxis Broadband kat laman pejabat ambo. Terdetik di hati.. apa kata kita beralih ke Maxis pulak. Tapi bila fikir balik, Celcom ni confirm milik syarikat Melayu. Takpe lah Celcom ada problem pun. Maxis confirm milik Ananda Krishnan. Ada link pulak dengan syarikat judi. Baiklah kekal dengan syarikat Melayu Islam. Lagipun sebagai ex-Celcom staff, jiwa ambo masih cintakan syarikat pertama ambo mula bekerja dulu.Kali ni, bukanlah berhajat nak cerita pasal Celcom. Tapi nak berkongsi sikit topik yang agak penting juga iaitu 'SUSU IBU'. Apa kena mengena susu ibu dengan kita? Allah s.w.t berfirman; "Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan" (al-baqarah:233).Pernah ambo mendengar seorang Ustaz berkata bahawa susu badan isteri adalah hak mutlak suami. Bukan bermakna si suami perlu berebut dengan anaknya untuk mendapatkan susu isterinya (ibu anaknya). Kalau si suami berebut dengan anak, itu bermakna si suami bangang namanya. Maksud hak mutlak suami sebenarnya si suami hanya berhak membenarkan penyusuan kepada anak kandung mereka sahaja. Jika si isteri ingin menyusukan bayi selain daripada anak kandung mereka sendiri, maka si isteri wajib meminta kebenaran si suami terlebih dahulu. Jika si isteri menyusukan bayi selain daripada anaknya sendiri hatta anak saudara mereka sekalipun maka haram hukumnya jika tanpa keizinan suami. Wah, besar sungguh kuasa suami, sampai susu si isterinya pun dia perlu kawalnya. Ada orang bertanya kepada ambo apa makna anak susuan? Ambo kata, bila seorang bayi (selain daripada anak kandung sendiri) menyusu badan pada bukan ibu kandungnya sehingga 2 kali kenyang, maka ia boleh dianggap sebagai ibu susuan dengan ibu tersebut. Apa jadi pada si suami pula yang lebih dari 2 kali kenyang bila minum susu isteri?? Itu, tuan-tuan kena jawablah sendiri. Kalau belajar kitab-kitab pondok ada disebut masalah ini. Kenapa dinyatakan di dalam kitab, mungkin ramai si suami minum susu isterinya terutamanya di malam hari dan malas pulak nak ke dapur untuk minum air.
Bercakap bab susu ibu, di zaman moden ini ramai ibu-ibu yang bekerjaya tidak ambil kisah mengenai penyusuan anaknya. Terutama bila dinyatakan pada ayat di atas dimana penyusuan sempurna sebaik-baiknya adalah sehingga anak berumur 2 tahun. Ambo ingin berkongsi pengalaman anak-anak ambo. Damia, anak pertama ambo bila dilahirkan dalam tempoh 24 jam terus disusukan kepada Mamanya. Penyusuannya Mamanya penuh sehingga berumur setahun lebih. Sekali-sekali ada juga diberi susu "lembu". Itu pun tidak kerap dan sekadar 'standby' sahaja. Seingat ambo Damia tidak pernah mengalami penyakit dan demam kronik sehingga usianya sekarang mencecah 10 tahun. Sekadar demam biasa adalah.. Walaupun badan tidak berisi mana, antibodinya cukup kuat. Sebaliknya Dini, anak kedua ambo semasa dilahirkan dia mengalami masalah pernafasan lalu terus dimasukkan ke bilik penjagaan dengan diberikan bantuan oksigen untuk memudahkan pernafasan. Susu yang mula dirasainya ialah susu formula (tepung) sehinggalah kehari ketiga baru diberi minum susu Mamanya. Dini telah ditahan di hospital sehingga seminggu. Natijahnya, antibodi Dini cukup lemah. Pada usia 4 bulan, beliau sekali lagi dimasukkan disebabkan masalah paru-paru (bronchitis). Penyusuan Dini majoritinya lebih tertumpu kepada susu formula berbanding susu Mamanya. Lebih-lebih lagi Mamanya tidak kisah sangat bab penyusuan badan. Almaklum ibu moden dan sibuk sangat bekerja. Selepas kepulangan kami dari umrah tahun lepas, penyusuan Mamanya terputus terus. Mungkin lama sangat Dini ditinggalkan semasa kami berada ditanah suci. Kini, pada usia 2 tahun setelah ditinggalkan Bibik Lailiyah tempoh hari, Dini ditempatkan di nursery pada sebelah siangnya. Seminggu di nursery, Dini telah mengalami muntah-muntah yang agak kronik lalu dimasukkan ke hospital lagi. 3 hari hari di hospital dan beliau telah phobia untuk minum susu apatah lagi menjamah makanan. Hanya berbekalkan ubatan daripada doktor sahaja untuk terus bertenaga. Hari keempat, bila pulang ke rumah masalah lain pula terjadi. Muntah telah berhenti tetapi masalah cirit-birit pula timbul. 3 hari berturut-turut perkara ini berlaku. Kesian Dini.. makan dan minum perlu dipaksa. Namun atas masuk, bawah juga keluar sehingga tidak bertenaga dan terbaring layu. Bayangkan berat Dini 12kg sebelum masuk hospital dan kini selepas seminggu hanya 9.75 kg. MasyaAllah, lebih 2kg turun berat turun dalam tempoh seminggu. Dulu montel, kini banyak rangka yang timbul. Sedih ambo melihat Dini. Ambo berkongsi ini hanya buat pengajaran untuk diri ambo dan kita semua. Terutama yang mempunyai bayi dan bakal menimang cahaya mata. Betapa pentingnya susu ibu. Sebab itulah, Rasulullah walaupun hanya sekejap sahaja disusukan oleh Bondanya, beliau telah disusukan pula oleh Halimatun Saadiah (ibu susuan) sehingga genap umur 2 tahun. Cuba perhatikan petikan artikel di bawah. Simptomnya ada persamaan dan terjadi pada Dini.
Khasiat dan kebaikan susu ibu.
Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.
Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.

Monday, January 4, 2010

SYIFA'

Khasiat amalan mudah, 3 fadhilat al-Fatihah (ikhtiar, usaha, tawakal)
· Penawar sengatan racun haiwan berbisa (seperti kala jengking dan lipan);
· Penyembuh penyakit mata, gigi dan segala penyakit;
· Ubat untuk penyakit/ sifat lupa.

Program SYIFA di Siaran Astro Oasis, Channel 106 menayangkan dokumentari berkenaan Perubatan Syifa' Al-Hidayah. Rancangan 13 episod ini telah bermula pada 26 Disember 2009 dan akan berkahir pada 20 Mac 2010, setiap hari Sabtu pada 7.30 malam. Program ini fokus untuk penyakit-penyakit seperti kanser, jantung berlubang, sakit urat saraf, masalah kesuburan, sakit buah pinggang, sakit tulang belakang dan lain-lain penyakit fizikal. Program ini akan tunjukkan kaedah rawatan perubatan islam dan temubual pesakit-pesakit yang telah sembuh melalui cara perubatan Syifa' Al-Hidayah. Ayat-ayat penawar untuk penyakit-penyakit akan juga dipamerkan dalam rancangan ini.

Kepada yang berkelapangan, saksikan bersama-sama kerana saya juga akan muncul dalam salah satu episod program ini sebagai testimonial yang telah berjaya. Selamat menonton!