KELANA JAYA, 26 Okt. Perasaan gembira bercampur sedih keluarga ambo menghantar Mek menuju ke Kompleks Haji Kelana Jaya. Sedih kerana Mek bakal meninggalkan kami di Tanah Air dan gembira kerana Mek terpilih pada tahun ini menjadi tetamu Allah serta akan berangkat ke tanah suci Makkah pada penerbangan Malaysia KT22, jam 3.15pm. Seramai 155 bakal haji termasuk Mek dan Abang Normi serta isteri mula melapor diri di Kelana Jaya pada jam 11.15am. Kami tiba di Kelana Jaya awal lagi kerana tidak mahu kalut dengan kesesakan lalu lintas dan sengaja ingin berkumpul di sana bersama kaum keluarga yang lain. Alhamdulillah, dari Tmn Sentul Utama ke Kelana Jaya hanya memakan masa kurang dari sejam sejam sahaja dan ambo terus dapat memasuki ke perkarangan kompleks kerana Mek menaiki kereta ambo. Dan parking pun tidak menjadi sebarang masalah. Banyak lagi lot parking yang kosong di belakang kompleks tanpa dikenakan apa-apa bayaran. Dua tahun lepas ambo ke sini juga untuk menghantar Mok Mah (mak sedara). Jauh parkingnya dan bayaran pun dikenakan RM6.00 per entry. Ramai usahawan parking haram yang mengaut keuntungan segera di musim-musim haji begini.
Khemah menempatkan para waris menunggu
Skrin bagi menayangkan urusan haji
Syabas diucapkan kepada pihak Tabung Haji yang menyediakan perkhidmatan yang baik dan lancar untuk para jemaah. TH telah diiktiraf sebagai badan pengurusan haji yang terbaik di dunia. Khemah-khemah untuk waris yang menghantar jemaah banyak disediakan. Di samping kemudahan skrin besar disediakan untuk tatapan para jemaah dan waris yang menayangkan berkenaan urusan haji.
Ustaz Dato' Daud Che Ngah
Teringat ambo pesan Dato’ Mohd Daud Che Ngah, mantan Pengurus Besar TH semasa memberi motivasi kepada bakal-bakal haji di pejabat ambo 4 hari lepas. Cabaran mengerjakan haji pada tahun ini lebih mencabar. Ini kerana gejala H1N1 menular di seluruh dunia. 286 buah hotel di Mekah pula telah diruntuhkan bagi memberi peluang pembesaran dan penyediaan dataran di Masjidil Haram. Permintaan mengerjakan haji bagi warga Malaysia meningkat setiap tahun sehinggakan bagi mereka yang mendaftar haji pada tahun ini hanya akan menerima tawaran pada tahun 2024. Bermakna kena tunggu 15 tahun baru tiba giliran. Kuota Malaysia hanya dihadkan seramai 26,000 jemaah sahaja pada tahun ini. Justeru itu bakal-bakal haji seharus merebut peluang untuk menunaikan haji sehabis baik untuk mendapatkan haji mabrur. Beliau menyaran supaya “Do it right at the first time”. Ini kerana, jika haji tidak mabrur, maka alamak 15 tahun lagi kena tunggu untuk giliran kedua. Kalau umur tahun ini 50 tahun, maknanya umur 65 untuk giliran akan datang. Itupun kalau umur masih panjang dan badan masih lagi sihat. Dikhabarkan ramai para jemaah sebelum ini gagal memperoleh haji mabrur. Bagaimana tanda-tanda haji mabrur? Tepuk dada, tanya iman. Anjakan paradigma harus berlaku setelah kembali tiba di tanah air. Perubahan daripada kurang baik sebelum menunaikan haji kepada lebih baik setelah selesai haji. Daripada kurang beribadah sebelum haji kepada kuat beribadah setelah bergelar haji. Kita sendiri yang dapat menilai. Persediaan dengan ilmu pengetahun cukup penting sebelum berangkat. Lakukan ibadah dengan tertib dan tartil dan jaga perilaku di tanah haram. Berdisiplin, tidak mengeluh dan jaga tutur kata antara perbuatan yang menghasilkan haji mabrur. Jangan sekali-kali marah di tanah suci kerana kita adalah tetamu Allah. Paling penting jangan kembali mencipta dosa –dosa apabila kembali balik ke Malaysia.
Mek merenung jauh
Berbalik semula kepada Mek ambo. Mek akan meninggalkan Pak dan kami semua selama 49 hari. Mek dan Pak tak pernah berpisah sejak hampir 26 tahun perkahwinan. Pak adalah suami ketiga Mek. Ayah ambo dan suami kedua semuanya bercerai mati dengan Mek. Pak merupakan suami yang paling lama dikahwini Mek. Kesihatan Pak dua tiga bulan ini tidak begitu mengizinkan dan sering terlantar di katil. Tapi Pak gagah juga untuk menghantar Mek ke Kelana Jaya. Kasih seorang suami kepada isteri tiada tolok banding. Tiada insan yang setanding dengan Mek. Semoga pengorbanan Mek akan mendapat haji mabrur, InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment