Wednesday, May 19, 2010

WASIAT BAGI YANG HIDUP

Pagi 18 Mei 2010 sebaik sahaja mailbox aku dibuka, terkejut aku apabila seorang yang amat ku kenali diberitakan telah kembali kerahmatullah. Allahyarham sememangnya dikenali ramai di pejabatku kerana beliau merupakan Presiden Kesatuan Sekerja. Dan beliau juga merupakan qariah masjid yang sentiasa ku jumpa semasa menyewa di Sentul suatu ketika dulu. Allah telah tetapkan ajal seseorang anak Adam, yang pastinya tidak akan dilewatkan atau dipercepatkan walaupun sesaat sekalipun apabila sudah tiba masanya.


Kebetulan pada pagi tadi semasa menuju ke pejabat, di radio KLFM dikhabarkan sejumlah RM40 bilion harta orang Islam yang meninggal dunia telah dibekukan dan tidak boleh difaraid atau diagihkan kepada mereka yang sepatut menerimanya. Puncanya ialah tiada wasiat ditulis atau didokumenkan. Kebelakangan ini, banyak kedengaran waris-waris simati tidak dapat menerima harta pusaka atau bergaduh sesama sendiri merebut harta pusaka dan sebagainya. RM40 bilion bukan nilai yang sedikit bang...


Justeru itu, apa tugas kita semasa hidup ini. Selain mencari bekalan akhirat, jangan lupa memikirkan nasib anak-anak kita atau waris-waris kita jika kita mempunyai harta (contoh wang EPF, rumah, kereta dsb) yang akan ditinggalkan. Maka dinasihatkan supaya disediakan Wasiat Secara Bertulis samaada melalui Amanah Raya atau penulis wasiat yang bertauliah.


Apabila kita mati, sebenarnya 5 perkara yang perlu dilakukan oleh pasangan kita atau pemegang amanah yang masih hidup:

1. Menguruskan pengebumian jenazah kita... itu pasti.

2. Menyelesaikan hutang-hutang simati.

3. Melaksanakan wasiat.

4. Melangsaikan tuntutan sepencarian.

5. Melaksanakan faraid.


Oleh itu, bertindaklah sekarang sebelum terlambat. Ingatlah zuriat dan orang yang tersayang apabila kita sudah pergi mengadap Ilahi.

Monday, May 17, 2010

Hari Guru

Bulan Mei setiap tahun memang banyak hari & acara sambutan. Bermula dengan Hari Pekerja, Hari Jururawat, Hari Ibu, Hari Guru, Hari Wesak dan pelbagai hari lagi.
Macam biasalah tahun ni, anak-anakku sibuk ajak mamanya untuk beli hadiah buat Cikgunya sempena hari guru. Sorang anak ada 10 cikgu yang mengajar untuk sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Dua orang maknanya 20 cikgu. Banyak jugak modal papanya kena keluarkan. Tapi bila fikir balik, apalah sangat nilai hadiah tersebut berbanding pengorbanan seorang guru sehinggakan anak-anakku dapat mengenal ABC, 123 dan Alif Ba Ta. Isteriku juga seorang guru. Tiap-tiap tahun walaupun hadiah tak sebesar mana, banyak juga yang dikumpulkan daripada anak-anak muridnya. Glamour juga Cikgu Suria, walaupun dia ni memang cikgu garang kat sekolahnya. Isteriku pernah berkata."Abe, sedih jugak kalu cikgu tu langsung tak dapat apa-apa dari muridnya". Maknanya samaada cikgu tersebut tidak popular.. atau murid-murid benci akannya.
Dato' Dr Fadilah Kamsah pernah berpesan.. Untuk jadi murid cemerlang jangan sekali benci akan cikgu.. Walaupun cikgu tu garang. Untuk dapat ilmu yang berkat, 4 perkara mesti dilakukan oleh seorang murid pada setiap hari:
1. Ucapkan "Terima Kasih Cikgu".... setelah ajaran guru diberikan.
2. Katakan "Maafkan kami Cikgu"... walaupun pelajar tak buat salah.
3. Katakan "Halalkan ilmu kami Cikgu" ...
4. Katakan pada guru .."Doakan kejayaan kami Cikgu".
InsyaAllah jika anak-anak kita amalkan 4 perkara ini, nescaya keberkatan ilmu diperolehi dan moganya akan cemerlang di dunia dan di akhirat.. Fikir-fikirkan.

Sunday, April 25, 2010

MOTIVATOR

Lama benar tidak bersama di alam cyber ni. Almaklum sibuk yang teramat. Urusan keluarga, kerja dan study. Teringat sabda nabi yang bermaksud "Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara....". Salah satunya adalah masa lapang sebelum datang masa sibuk. Itulah hakikat hidup di dunia ini.

Semalam masa menunggu anak pulang dari sekolah, di Radio IKIM Dato' Dr Fadhilah Kamsah banyak membicarakan berkaitan tugas ibu-bapa sebagai motivator untuk anak-anak. Tak rugi hanya belanja RM50.00 selama 4 jam untuk mengikuti program motivasi keibu-bapaan bersama Dato' DFK.

Sedikit petikan yang pernah disampaikan oleh beliau untuk panduan kita semua.


TIPS DIPETIK DARI KURSUS IBUBAPA SEBAGAI MOTIVATOR OLEH DATO' DR FADZILLAH KAMSAH

1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah
yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan
hatiku bersih" dan digalakkan doa 12 pintu.
2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur
setiap hari, Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.
3. Solat taubat dan solat istikharah bila ada keperluan- Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.
4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa,
penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah "Qulhu-allah"
sebanyak 3X.
5. Bermaaf-maafan sesama kawan dan pasangan setiap hari - Semasa
meminta maaf perlu sebutkan. Kita mungkin tidak boleh mohon maaf kepada
semua manusia tetapi kita berupaya untuk memaafkan semua orang. Cara ini
mengurangkan beban emosi dan kita akan lebih ceria pada setiap hari.
6. Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka) dan ini boleh boleh dipraktikkan kepada anak-anak.
7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum
tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak
aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat,
aktif, positif". Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum
tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya.
8. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu
kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa).
9. Untuk mencuci hati antara aktiviti terbaik adalah dengan mencuci
tandas. Mengikut sesetengah pendapat ianya dapat membasuh kesombongan
pada hati.
10. Peluk pasangan setiap hari sekurang-kuranya 3 kali dalam tempoh 10
saat . Jangan lama sangat dikhuatiri kita tidak terpaksa ambil cuti
kecemasan (ada faham).
11. Berkata-kata/menasihat anak kita pada waktu yang sesuai di dalam
membentuk jiwa dan ruhaninya. Waktu yang digalakkan (teachable moments)
adalah seperti berikut:-;

• Sebelum tidur
• Semasa tidur
• Selepas tidur
• Selepas riadah
• Selepas solat
• Selepas mandi air suam
12. Memberi arahan yang jelas kepada anak-anak seperti " Nak, solat
jangan ditinggalkan " dan bukannya " Nak, jadilah anak yang cemerlang "
(umum).
13. Ibu bapa kena imbangkan emosi keluarga, sekiranya bapa memarahi
anak, si ibu perlu memujuk anak dan beri rasional kenapa ayah marah.
14. Jangan galakkan anak menjadi artis/penyanyi walaupun berbakat
(tidak dijelaskan kenapa rasanya kita dah faham).
15. Elakkan dan jangan sekali-kali menyebut perkataan yang negatif
kepada anak kerana doa ibu bapa adalah makbul.
16. Jangan risau anak tidak mendengar kata kita, tapi risaulah kerana
anak-anak melihat perbuatan kita dan mencontohinya.
17. Setiap kali balik ke rumah ucapkan Basmallah 3x dan beri salam
serta senyum. Pastikan suami dalam keadaan positif semasa pulang ke
rumah walaupun penat bekerja. Kaum Bapa bantulah isteri membuat
kerja-kerja rumah.
18. Makan dan minumlah serta buatlah sesuatu dengan tangan kanan kerana
ada 18 enzim yang baik ada pada tangan kanan manakala pada tangan kiri
ada 81 enzim yang menjadi anti bakteria dan sesuai untuk aktiviti
mencuci qubul dan dubur. (sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kiri)
19. Amalkan membuang hadas besar dengan menyengetkan badan ke arah kiri
dan memegang kepala dengan tangan kanan. Ini akan memudahkan lawas serta
mengelakkan penyakit buasir.
20. Makan buah dahulu sebelum makan nasi supaya semua vitamin dalam
buah tidak hilang!!!
21. Untuk lelaki jangan amalkan kencing berdiri (sesungguhnya syaitan
itu kencing berdiri) kerana banyak keburukan seperti mendatangkan
penyakit seperti ED dan sbgnya.
22. Hormatinya buku sebagai guru/ilmu jangan dicampak-campak atau tidak
dijaga. Apatah lagi sekiranya kitab-kitab ilmu.
23. Amalkan bismillah lima banyak khasiatnya (lanjutan kena berguru
dengan Hj Afandi).
24. Tarikh lahir boleh mencerminkan peribadi walaupun bukan 100% tepat.
Anak-anak yang lahir pada 18 hb hingga 23 hb pada kebiasaanya lebih
berupaya menjadi cemerlang atau boleh upaya juga menjadi sebaliknya
terpulang kepada didikannya.
25. Anak kedua lebih berdikari dan biasanya agak tersisih dalam hiraki
keluarga.
26. Amalkan tidur mengiring ke kanan.
27. Menyebutkan Hadis Qudsi " Allah bertindak sepertimana yang
difikirkan oleh hambanya". Jadi kena sentiasa positif.
28. Ransang anak-anak dengan kata-kata positif sejak dalam kandungan
lagi.
29. Ransang anak-anak semasa mereka bayi dan seterusnya sehingga
dewasa. Apabila dewasa beri kebebasan kepada anak untuk memberi pendapat
dan membuat pilihan.
30. Doa mempunyai kuasa yang hebat. "Doa itu senjata bagi orang
mukmin".
31. Ibubapa kena berubah terlebih dahulu baru boleh meransang perubahan
pada keluarga.
32. Jangan mendera anak-anak, kerana anak-anak yang didera berkemungkinan besar akan mendera anaknya iaitu cucu kita.

Monday, March 15, 2010

Orang Baru

Muhammad Aqlan - 7 Mac 2010

Muhammad Aqlan - 1 Mac 2010 (selapas di azankan ; 1st day)

Syukur Alhamdulillah, tanggal 7.26am pada 1 Mac 2010 ambo telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t zuriat lelaki sebagai pewaris dan imam. Semoga tergolong di kalangan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan perkara baik bagiku. Amin!!





Friday, February 19, 2010

7 Golongan Mendapat Perlindungan Arasy

Setiap pagi Selasa, 7.30am di radio Ikim, Ust Zawawi Yusoff (UIA) sering memperkatakan bab Kiamat. Berikut adalah sedikit intipati dari tazkirah beliau;

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya:
1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu ia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil menggelinangkan airmatanya.
[Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim]

Huraian Hadis:
Di dalam hadis di atas baginda Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menjelaskan tentang tujuh golongan manusia yang berada di bawah naungan ‘arasy Allah pada Hari Kiamat. Mereka akan terhindar dari terik panas matahari ketika di Padang Mahsyar. Merekalah golongan yang akan mendapat kebahagiaan di akhirat kerana memiliki salah satu daripada tujuh sifat di bawah ini:
1. Imam yang adil:
Yang dimaksudkan dengan imam di sini ialah raja, presiden, sultan atau hakim atau qadi atau siapa saja yang menjadi pemimpin. Adapun yang dimaksudkan dengan adil ialah menghukum dengan adil dan seksama, tidak berdasarkan hawa nafsu dan tidak pula menerima mengamalkan rasuah atau salah guna kuasa. Oleh itu seorang pemimpin mestilah bersih daripada sifat zalim sebab tugas utama para pemimpin adalah untuk membasmi kezaliman.
2. Pemuda yang taat beribadat kepada Allah sejak kecil:
Remaja yang taat beribadah kepada Allah sejak umur muda lagi. Mereka telah dilatih untuk menghormati hukum-hakam Allah sejak kecil iaitu dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Golongan inilah yang boleh diharapkan untuk menjadi pemimpin masa depan yang akan membawa negara ke arah negara makmur yang diredhai Allah (Baldatun thaiyibatun Wa Rabbun Ghafuur).
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid:
Masjid adalah tempat yang paling mulia di atas muka bumi. Sebaliknya tempat yang paling buruk di atas muka bumi adalah pasar. Ini memberi gambaran bahwa orang yang hatinya selalu teringat kepada masjid adalah orang yang soleh. Mereka pastikan setiap hari dapat melakukan solat wajib secara berjamaah. Ini tidak bermakna setiap waktu mereka mesti berada di dalam masjid.
Diriwayatkan bahwa baginda Rasul (sallallahu alaihi wasalam) segera membangun pasar Madinah setelah beliau selesai membangun masjid Nabawy. Ini memberi gambaran bahwa manusia yang sempurna mestilah membuat keseimbangan antara keperluan jasmani dan rohani. Fungsi masjid bukan hanya untuk beribadat kepada Allah dalam pengertiannya yang khusus tetapi juga berperanan untuk mencerdaskan berfikir umat melalui majlis ilmunya dan memperkukoh perpaduan umat melalui solat berjamaahnya dan lain-lain.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi karena Allah:
Islam adalah agama yang berlandaskan cinta kepada Allah dan bersama-sama mengharap keredaan Allah berdasarkan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Oleh yang demikian, jika persahabatan kita dengan seseorang berdasarkan prinsip itu maka kita akan mendapat kemuliaan di sisi Allah kelak di akhirat.
Sikap saling kasih-mengasihi karena Allah hendaklah dibuktikan dengan menghidupkan semangat amar ma’ruf nahi munkar terhadap sesama kita. Sifat saling nasihat-menasihati dan saling tegur-menegur kepada kebenaran mestilah diwujudkan untuk bersama-sama mentaati ajaran Allah. (Watawaashau Bil Haq).
Atas dasar ini, kita dilarang oleh agama menjalin persahabatan sesama kita hanya atas dasar kepentingan dunia semata-mata umpamanya menjalin hubungan dengan seseorang hanya ingin mendapat kemudahan duniawy disebalik persahabatan itu.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu ia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
Wanita selalu diperalat oleh syaitan untuk menggugat ketaqwaan seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang mengajak lelaki buat maksiat. Sungguh banyak lelaki yang goyang imannya jika mendapat tawaran tersebut kecuali mereka yang mendapat rahmat dan perlindungan Allah. Lelaki yang benar-benar takut kepada Allah akan menolak rayuan syaitan betina itu. Atau sebaliknya, wanita yang benar-benar bertaqwa akan menolak godaan syaitan jantan tersebut. Mereka akan berkata: “Aku takut kepada (azab) Allah”.
Manusia jenis inilah barangkali yang ingin digambarkan oleh Allah SWT melalui kisah Nabi Yusuf dengan Zulaikha: “Yusuf berkata: Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”.(Yusuf 12:33)
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.
Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menggambarkan manusia yang ikhlas ketika bersadakah seperti tangan kanan. Walaupun jaraknya sangat dekat dengan tangan kiri (manusia) namun dia tidak mengetahui apa yang tangan kanan nafkahkan.
Gambaran ini menyatakan kepada kita bahwa manusia yang ikhlas beramal semata-mata mengharap keredaan dan ganjaran daripada Allah, bukan sanjungan dan pujian manusia lain. Ini tidak bermakna kita tidak dibolehkan bersedekah secara terang-terangan. Tetapi bersedekah secara sembunyi-sembunyi adalah lebih baik daripada terang-terangan sebab ia lebih selamat daripada riyak dan takabbur.
7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.
Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menyatakan dalam bahagian ini betapa besarnya ganjaran yang Allah akan berikan kepada orang yang menangis karena takut kepada azab Allah. Lebih-lebih lagi ketika sujud atau sedang membaca Al-Quran atau ketika berdoa memohon ampun kepada Allah pada dua pertiga malam ke atas dosa masa silam.
Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) pernah menggambarkan hakikat ini di dalam hadisnya:
Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut (azab) Allah dan mata yang berjaga ketika berjihad pada jalan Allah”.[Hadis Riwayat Tarmidzi]
Wallahu ‘alam bishowab.

Friday, January 29, 2010

Sonata Musim Salju

Teringat aku pada tahun 2002/2003 bila Drama “Winter Sonata” keluaran Korea Selatan muncul Malaysia. Aku bukanlah minat sangat. Tetapi pada masa tu fenomena siri TV dan wayang gambar Korea terutama cerita-cerita romantik dan seram banyak dimainkan di kaca TV dan layar perak. Lebih-lebih lagi isteri aku juga peminat tegar cerita Korea ini, turut tidak lepaskan peluang menonton Winter Sonata pada setiap petang. Di pejabat pun ramai memperkatakannya terutama golongan wanita. Dan lagunya sering dialunkan di radio serta telah dinyanyikan semula dalam versi bahasa Malaysia. Memang syahdu dan mengasyikkan.
Sebut pasal Korea ni, akhir tahun 70’an dan awal tahun 80’an bila ada Pesta Bola Merdeka pasti pertembungan antara pasukan Malaysia dan Korea Selatan yang ditunggu-tunggu. Pasukan kita boleh dikatakan jaguh di Asia dan sentiasa dapat menewaskan Korea Selatan. Bukan sahaja bola sepak, ekonomi dan kepesatan pembangunan Malaysia berbanding Korea Selatan, Malaysia sememangnnya jauh ke depan. Tapi itu, 30 tahun dulu. Masuk ke tahun 90an dan sehingga kini, Korea telah memecut laju memintas kita. Bukan hanya bola sepak tetapi dalam serba-serbi. Ekonomi Korea Selatan begitu pesat berkembang. Tenaga kerjanya tiada tandingan. Di Malaysia, mercu tanda KLCC dan Jambatan Pulau Pinang banyak menggunakan kepakaran dari Korea. Daewoo, Hyundai, KIA, Samsung, LG adalah antara jenama unggul dan produk dari Korea yang bertaraf dunia banyak dipasarkan di Malaysia. Kenapa Korea jauh ke depan dan Malaysia agak ketinggalan berbanding Korea Selatan. Pada hematku, mungkin Korea banyak belajar dari jirannya Jepun. Sikap rakyatnya yang boleh dikatakan “berdisiplin” dan “kerja kuat”. Saudara Ann Wan Seng banyak menghuraikan dalam bukunya “Rahsia Bisness Orang Korea” (2002).
Bukanlah aku ingin mengagung-agungkan produk dan negara Korea Selatan. Sebagai rakyat Malaysia, cinta kepada tanah air sendiri adalah sebahagian daripada iman. Tidak dinafikan Malaysia juga ada kelebihan dan keunikan tersendiri. Walau bagaimanapun sekadar ingin berkongsi pengalaman selama 5 hari di bumi Winter Sonata ini. Yang baik, kita amalkan, yang buruk kita tinggalkan.
Disember 2009 sebelum Krismas, aku berkesempatan ke Seoul, Korea Selatan atas undangan SAMSUNG, syarikat elektronik terbesar di Korea, malah antara syarikat terbesar di dunia. Peluang ini hanya datang sekali dalam seumur hidup yang mungkin tidak boleh dilepaskan. Perasaan memang teruja, lebih-lebih lagi bila menggambarkan drama Winter Sonata tersebut. Almaklum tidak pernah hayatku merasai 'real' salji.

Incheon International Airport


Sebaik saja menjejaki kaki di Incheon International Airport, syukur Alhamdulillah tidak terhingga kerana kami berjaya mendarat dengan selamat. Indah sekali airport ini. Dipinggir laut dah hampir sejam perjalanan ke bandar Seoul. Lapangan terbang ini amat besar dan telah diubahsuai terutama sebagai persediaan Korea menganjurkan Piala Dunia 2002 yang lalu. Dulu semasa mantan PM kita Tun Dr Mahathir memindahkan Lapangan Terbang dari Subang ke KLIA, Sepang ramai rakyat mengeluh termasuk aku, kenapalah buat KLIA jauh sangat. Menyusahkan rakyat. Nak pergi ke sana pun jauh dan tambang mahal. Tetapi bila perhatikan beberapa lapangan terbang yang lain yang pernah aku jejaki seperti Incheon Korea dan Heathrow London (tersibuk di dunia) padanlah ia dibuat jauh dari bandar. Kebanyakkan airport terbesar di seluruh dunia sememangnya dibuat jauh dari bandar. Ini bertujuan bagi memajukan kawasan setempat dan juga untuk pembesaran di masa-masa akan datang. Idea PM memang jauh ke depan. Kalau tak ada KLIA, Sepang aku rasa tak wujud Putrajaya. Bandar Nilai pula tidak membangun seperti sekarang. Litar F1 Sepang pun tak ada juga. Lebih-lebih lagi Desa Pinggiran Putra yang aku tinggal sekarang pun mungkin tidak wujud dalam peta Malaysia.
Penat pula menulis, sekadar berkongsi gambar yang memberikan seribu makna.

Taman Tema Everland .. ala-ala Disneyland gitu. Juga kepunyaan Syarikat Samsung

Bersama Rakan Setugas di Everland

Berada di koc tengah bullet train. Cuba tengok ekornya. Panjangnya...

Kobis Bunga atau Kimci. Tapi yang ni boleh makan ke?

Bersiap-siap nak posing di depan SAMSUNG HQ


Kat Malaysia ada Jln Duta. Di Korea ada Doota. Ala-ala SOGO gitu..

Singgah sebentar di Arabian Restaurant (halal). Pekena nasi arab. Restoren kepunyaan warga Iraq yang lari dari perang. Tapi awas di sebelah tu ada bar non-halal.


Kereta keluaran Sykt SAMSUNG. Semua ada ...

The Shilla Hotel. Ini pun Samsung punya.
Kediaman rasmi delegasi Malaysia

HwangDong Market. Syurga beli-belah Sutera Korea.
Terbaik di dunia dan murah lagi.

Di sini jambatan.. di sana pun jambatan.. Banyaknya jambatan!

Teksi Korea. Kereta tempatan Hyundai dan Kia

Pahlawan Korea di depan istana. Tak pernah senyum!

Peninggalan Penjajahan Jepun. Istana dikelilingi tasik membeku. -5 darjah Celcius katakan.


Kesimpulannya 15 perkara menarik di Korea untuk dikongsi bersama:

1. Highway di Korea 5 lorong satu hala. Maknanya pergi-balik 10 lorong. Besar sungguh!! Tapi sungguhpun 5 lorong, kesesakan tetap berlaku terutama waktu pagi semasa ke tempat kerja. Lebih dasyat dari Malaysia. Uniknya, highway tersebut tiada 'tol gate' atau palang. Pemandu pasti berhenti untuk membayar tol sebab atas sikap berdisiplin. Kalau tak bayar, esoknya dapat surat saman. Kalau di Malaysia, SmartTag pun ada palang. Tempat bayaran tunai pasti dipecut laju kalau tak ada gate sebab mentaliti kita semua nak percuma & tak nak bayar tol.
2. Orang Korea pakar dalam pembinaan jambatan. Sebab itu, banyak sangat jambatan merentasi sungai-sungai walaupun jaraknya agak dekat antara satu sama lain. Uniknya landasan kereta api pun dibuat atas jambatan dilereng-lereng bukit atau gunung. Penjagaan alam sekitar amat dititikberatkan.
3. Kereta api laju (bullet train) adalah pengangkutan biasa di sana. Uniknya train tersebut sangat panjang. Anggaran saya 2-3 kali ganda dari express wau KTMB. Perjalanan saya dari Seoul ke Gumi jaraknya 400km (umpama KL ke Kangar) hanya memakan masa 2 jam sahaja.
4. Ibu Pejabat SAMSUNG Electronic terletak di Suwon, Korea. Jika diperhatikan kompleks pejabat ini seperti seumpama sebuah kompleks Universiti. Terdapat padang bola sepak, kompleks sukan dan bangunan pejabat yang menempatkan lebih 20,000 pekerja. Uniknya 2/3 daripada jumlah pekerja adalah dikhaskan untuk kerja-kerja R&D.
5. Sayur Kimci di Korea atau kobis (cabbage) di Malaysia merupakan hidangan wajib untuk dimakan dengan nasi. Ibarat budu, cencalok dan sambal belacan bagi pelengkap selera. Uniknya kimci di Korea bermacam-macam warna dan juga sebagai pokok hiasan.
6. Barangan elektronik dan kenderaan dari negara lain seperti Jepun dan Eropah jarang kelihatan di Korea. Rakyat Korea begitu loyal dengan produk ciptaan mereka. Uniknya kenderaan berjenama SAMSUNG pun ada. Kebanyakkan kenderaan adalah bersaiz besar sesuai dengan jalan rayanya lebar dan iklim 4 musim di sana.
7. Sotong dalam bahasa Malaysia adalah sejenis hidupan laut. Tetapi awas, bila di Korea sotong bermaksud 'Tahi Lembu'. Uniknya sotong di Korea dimakan hidup-hidup dan bersaiz besar (saiz sotong kurita). Jari-jari sotong dipotong kecil dan dimakan begitu saja macam cacing bergerak. Kalau anda tergamak makan, silakan!!.
8. Bahasa Korea adalah sangat diutamakan sama seperti dengan negara Jepun. Uniknya, apabila soerang pekerja SAMSUNG membuat slide presentation kepada kami beliau dengan fasih berbahasa Inggeris. Tetapi bila sesi soal jawab, beliau sepatah pun tidak memahami soalan yang ditanyakan dalam bahasa Inggeris. Kena ada translater. Mungkin beliau sudah hafal slide tersebut.
9. Orang Korea semamangnya kuat bekerja. Ada KPI sendiri. Uniknya jika KPI tidak tercapai mereka sanggup berhenti kerja dan ada juga bunuh diri. Kadar bunuh diri di Korea antara tertinggi di dunia sama seperti negara Jepun. Bekas PM tahun lepas pun telah bunuh diri. Tapi itu ada skandal lain.
10. Terdapat jalan raya di Korea dahulunya berasal dari sebatang sungai kemudiannya ditimbus dan dikeringkan untuk dijadikan jalan. Uniknya, jalan tersebut telah dijadikan sungai semula dan melalui bandar Seoul. Sungai tersebut amat jernih dan bersih hinggakan menjadi tempat perkelahan bagi rakyat Korea. Kalaulah Sungai Gombak dan Sungai Kelang sedimikian rupa, alangkah bertuahnya kita.

Tuesday, January 26, 2010

Fikirkan Sejenak

Apabila Hassan Al-Basri ditanya: "Apa rahsia zuhudmu di dunia ini? Beliau menjawab, aku tahu rezekiku tak akan diambil orang lain, kerana itu hatiku selalu tenang. Aku tahu amalku tak akan dikerjakan orang lain, kerana itu lah aku sibuk mengerjakannya. Aku tahu Allah Ta'ala selalu memerhatiku, kerana itulah aku malu jika Allah melihatku sedang dalam maksiat. Dan aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk untuk hari pertemuanku dengan Allah Azza Wa Jalla".
Subhanallah.. Begitu mendalam maknanya. Fikir-fikirkan bagi diri kita. Kemana hala tuju kita. Rezeki yang ada sentiasa tidak cukup. Kalau boleh nak lagi.. Kekadang rezeki orang lain pun kita nak sapu. Kita selalu pandang orang yang berada di sebelah atas kita sehingga terlupa orang di sebelah bawah. Dalam kegawatan sekarang ini ramai antara kita tidak dapat bonus. Maka ramai yang pakat maki, sumpah seranah majikan atau kerajaan. Sedangkan ramai lagi yang merempat di luar sana menganggur, diberhentikan kerja, bencana alam, masalah itu-ini. Pasal gaji tak payah fikir sangat.. gaji masuk bulan-bulan. Sedangkan ramai lagi di luar sana belum tentu mendapat rezeki macam kita. Kais pagi makan pagi.
Fikirkan juga. Kalau Allah jemput kita esok, adakah kita jamin amalan yang ada sekarang mencukupi dan boleh bawa kita ke syurga? Terlepas siksaan kubur? Kalau tiada jaminan, habis tunggu apa lagi.. Keras sungguh hati kita. Berapa banyak kita memohon istighfar (keampunan) Allah dalam sehari? Banyak manakah amalan dan ibadah kita. Kita masih leka seolah-olah kita lambat lagi nak mati. Sedangkan kubur selalu kata mari.. rumah kata pergi.. fikirkan bersama...

Wednesday, January 20, 2010

EMM.. ENAKNYA SUSU IBU

Sejak kebelakangan ni talian Celcom Broadband di rumah ambo sering terganggu. Asyik terputus-putus. Kekadang tak boleh connect langsung. Makanya wacana di alam cyber ini tertangguh buat sekian lama. Minggu ni banyak sangat promosi Maxis Broadband kat laman pejabat ambo. Terdetik di hati.. apa kata kita beralih ke Maxis pulak. Tapi bila fikir balik, Celcom ni confirm milik syarikat Melayu. Takpe lah Celcom ada problem pun. Maxis confirm milik Ananda Krishnan. Ada link pulak dengan syarikat judi. Baiklah kekal dengan syarikat Melayu Islam. Lagipun sebagai ex-Celcom staff, jiwa ambo masih cintakan syarikat pertama ambo mula bekerja dulu.Kali ni, bukanlah berhajat nak cerita pasal Celcom. Tapi nak berkongsi sikit topik yang agak penting juga iaitu 'SUSU IBU'. Apa kena mengena susu ibu dengan kita? Allah s.w.t berfirman; "Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan" (al-baqarah:233).Pernah ambo mendengar seorang Ustaz berkata bahawa susu badan isteri adalah hak mutlak suami. Bukan bermakna si suami perlu berebut dengan anaknya untuk mendapatkan susu isterinya (ibu anaknya). Kalau si suami berebut dengan anak, itu bermakna si suami bangang namanya. Maksud hak mutlak suami sebenarnya si suami hanya berhak membenarkan penyusuan kepada anak kandung mereka sahaja. Jika si isteri ingin menyusukan bayi selain daripada anak kandung mereka sendiri, maka si isteri wajib meminta kebenaran si suami terlebih dahulu. Jika si isteri menyusukan bayi selain daripada anaknya sendiri hatta anak saudara mereka sekalipun maka haram hukumnya jika tanpa keizinan suami. Wah, besar sungguh kuasa suami, sampai susu si isterinya pun dia perlu kawalnya. Ada orang bertanya kepada ambo apa makna anak susuan? Ambo kata, bila seorang bayi (selain daripada anak kandung sendiri) menyusu badan pada bukan ibu kandungnya sehingga 2 kali kenyang, maka ia boleh dianggap sebagai ibu susuan dengan ibu tersebut. Apa jadi pada si suami pula yang lebih dari 2 kali kenyang bila minum susu isteri?? Itu, tuan-tuan kena jawablah sendiri. Kalau belajar kitab-kitab pondok ada disebut masalah ini. Kenapa dinyatakan di dalam kitab, mungkin ramai si suami minum susu isterinya terutamanya di malam hari dan malas pulak nak ke dapur untuk minum air.
Bercakap bab susu ibu, di zaman moden ini ramai ibu-ibu yang bekerjaya tidak ambil kisah mengenai penyusuan anaknya. Terutama bila dinyatakan pada ayat di atas dimana penyusuan sempurna sebaik-baiknya adalah sehingga anak berumur 2 tahun. Ambo ingin berkongsi pengalaman anak-anak ambo. Damia, anak pertama ambo bila dilahirkan dalam tempoh 24 jam terus disusukan kepada Mamanya. Penyusuannya Mamanya penuh sehingga berumur setahun lebih. Sekali-sekali ada juga diberi susu "lembu". Itu pun tidak kerap dan sekadar 'standby' sahaja. Seingat ambo Damia tidak pernah mengalami penyakit dan demam kronik sehingga usianya sekarang mencecah 10 tahun. Sekadar demam biasa adalah.. Walaupun badan tidak berisi mana, antibodinya cukup kuat. Sebaliknya Dini, anak kedua ambo semasa dilahirkan dia mengalami masalah pernafasan lalu terus dimasukkan ke bilik penjagaan dengan diberikan bantuan oksigen untuk memudahkan pernafasan. Susu yang mula dirasainya ialah susu formula (tepung) sehinggalah kehari ketiga baru diberi minum susu Mamanya. Dini telah ditahan di hospital sehingga seminggu. Natijahnya, antibodi Dini cukup lemah. Pada usia 4 bulan, beliau sekali lagi dimasukkan disebabkan masalah paru-paru (bronchitis). Penyusuan Dini majoritinya lebih tertumpu kepada susu formula berbanding susu Mamanya. Lebih-lebih lagi Mamanya tidak kisah sangat bab penyusuan badan. Almaklum ibu moden dan sibuk sangat bekerja. Selepas kepulangan kami dari umrah tahun lepas, penyusuan Mamanya terputus terus. Mungkin lama sangat Dini ditinggalkan semasa kami berada ditanah suci. Kini, pada usia 2 tahun setelah ditinggalkan Bibik Lailiyah tempoh hari, Dini ditempatkan di nursery pada sebelah siangnya. Seminggu di nursery, Dini telah mengalami muntah-muntah yang agak kronik lalu dimasukkan ke hospital lagi. 3 hari hari di hospital dan beliau telah phobia untuk minum susu apatah lagi menjamah makanan. Hanya berbekalkan ubatan daripada doktor sahaja untuk terus bertenaga. Hari keempat, bila pulang ke rumah masalah lain pula terjadi. Muntah telah berhenti tetapi masalah cirit-birit pula timbul. 3 hari berturut-turut perkara ini berlaku. Kesian Dini.. makan dan minum perlu dipaksa. Namun atas masuk, bawah juga keluar sehingga tidak bertenaga dan terbaring layu. Bayangkan berat Dini 12kg sebelum masuk hospital dan kini selepas seminggu hanya 9.75 kg. MasyaAllah, lebih 2kg turun berat turun dalam tempoh seminggu. Dulu montel, kini banyak rangka yang timbul. Sedih ambo melihat Dini. Ambo berkongsi ini hanya buat pengajaran untuk diri ambo dan kita semua. Terutama yang mempunyai bayi dan bakal menimang cahaya mata. Betapa pentingnya susu ibu. Sebab itulah, Rasulullah walaupun hanya sekejap sahaja disusukan oleh Bondanya, beliau telah disusukan pula oleh Halimatun Saadiah (ibu susuan) sehingga genap umur 2 tahun. Cuba perhatikan petikan artikel di bawah. Simptomnya ada persamaan dan terjadi pada Dini.
Khasiat dan kebaikan susu ibu.
Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.
Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.

Monday, January 4, 2010

SYIFA'

Khasiat amalan mudah, 3 fadhilat al-Fatihah (ikhtiar, usaha, tawakal)
· Penawar sengatan racun haiwan berbisa (seperti kala jengking dan lipan);
· Penyembuh penyakit mata, gigi dan segala penyakit;
· Ubat untuk penyakit/ sifat lupa.

Program SYIFA di Siaran Astro Oasis, Channel 106 menayangkan dokumentari berkenaan Perubatan Syifa' Al-Hidayah. Rancangan 13 episod ini telah bermula pada 26 Disember 2009 dan akan berkahir pada 20 Mac 2010, setiap hari Sabtu pada 7.30 malam. Program ini fokus untuk penyakit-penyakit seperti kanser, jantung berlubang, sakit urat saraf, masalah kesuburan, sakit buah pinggang, sakit tulang belakang dan lain-lain penyakit fizikal. Program ini akan tunjukkan kaedah rawatan perubatan islam dan temubual pesakit-pesakit yang telah sembuh melalui cara perubatan Syifa' Al-Hidayah. Ayat-ayat penawar untuk penyakit-penyakit akan juga dipamerkan dalam rancangan ini.

Kepada yang berkelapangan, saksikan bersama-sama kerana saya juga akan muncul dalam salah satu episod program ini sebagai testimonial yang telah berjaya. Selamat menonton!