Wednesday, October 28, 2009

Dato' Ismail Kamus di Jalan Duta


Surau Hasil hari ini mencipta sejarah. Pertama kali kuliah Zohor penuh dengan jemaah lebih-lebih lagi bukan di bulan Ramadhan. Kalau Ramadhan tu biasalah penuh sebab jemaah tidak turun makan. Surau hari ni didatangi oleh Ustaz Dato' Ismail Kamus. Penceramah yang tidak asing lagi di tanah air kita. Beliau pernah hadir memberi ceramah di Jalan Duta pada tahun 1990. Lama benar tak kemari. Ambo pernah sekali menjemput beliau untuk kuliah zohor di Celcom 10 tahun lalu. Kini bertemu kembali di Jalan Duta. Macam biasa, kuliah Dato' begitu selamba, tapi sarat dengan isi dan ilmu. Kekadang terkena batang hidup sendiri. Intipati kuliah hari ini:




  1. Peranan pemimpin. Mesti bersikap adil dan tidak bersikap zalim. Adil bermaksud meletakkan sesuatu ditempat sepatutnya. Manakala zalim adalah bermaksud sebaliknya. Contohnya, songkok sememangnya dipakai di kepala. Maka ianya dilihat adil jika diletakkan di kepala (atas) . Tetapi jika songkok dipakai dikepala lulut, maka itu bermakna zalim. Pemimpin ditegah menggunakan kuasa untuk menekan atau menindas orang lain. Ingatlah, doa orang yang dizalimi akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Di zaman sahabat dan taabi'in semua orang takut nak menjadi pemimpin. Khalifah Omar Abdul Aziz menangis bila beliau dipilih menjadi pemimpin. Sebaliknya dewasa ini, orang menangis jika mereka tidak terpilih menjadi pemimpin. Pemimpin merupakan orang yang pertama sekali akan ditanya di Padang Mahsyar. Kemudiannya ulamak.


  2. Pembahagian waktu. Hendaklah mereka yang berakal itu membahagikan seharian mereka kepada 4 pecahan waktu:



  • Bermunajat kepada Allah; mesti perbanyakkan masa untuk Allah. Kurangkan masa tidur. Sebaik-baiknya tidur antara 4-5 jam sehari. Banyakkan sembahyang malam. Dalam kitab Laatahzan menyatakan "Sembahyanglah malam walaupun beberapa ketika hendak masuk waktu subuh". Maknanya sangat dipentingkan untuk mengerjakan solat malam. Banyakkan berzikir dan membaca Al-Quran.


  • Muhasabah diri; mesti renung atau bayangkan apakah kita lakukan setiap hari. Berapa banyak amalan dan dosa yang telah kita dilakukan. Jika banyak dosa, jangan berlengah untuk memohon keampunan.


  • Merenungkan ciptaan Allah s.w.t; Renungkan kejadian dan ciptaan tuhan. Semutnya misalnya. Walaupun kecil tetapi organnya banyak. Ada hati dan jantung. Anak-anak yang keluar dikala menetas dari telur terus ke laut. Siapa yang menggerakkannya. Tanpa pakai GPS. Mereka tahu hala tujuan masing-masing. Anggota badan kita. Mata tanpa spring boleh berkelip-kelip. Buah pinggang dan jantung tanpa bateri boleh bergerak-gerak dan mengepam darah. Besar sungguh ciptaan tuhan.


  • Mencari Nafkah; Amat penting untuk menyara diri dan keluarga. Nafkah yang dikeluarkah untuk isteri misalnya digandakan pahala sebanyak 900 kali berbanding kalau sedekah kepada orang lain yang mendapat 700 pahala.


Akhirnya, ustaz menyampaikan dua pepatah arab untuk renungan. "Jangan tunggu masa lapang..kitalah yang perlu melapangkan masa. Jangan lari daripada gelombang tetapi belajarlah cara menghadapi gelombang".

Tetamu Allah



KELANA JAYA, 26 Okt. Perasaan gembira bercampur sedih keluarga ambo menghantar Mek menuju ke Kompleks Haji Kelana Jaya. Sedih kerana Mek bakal meninggalkan kami di Tanah Air dan gembira kerana Mek terpilih pada tahun ini menjadi tetamu Allah serta akan berangkat ke tanah suci Makkah pada penerbangan Malaysia KT22, jam 3.15pm. Seramai 155 bakal haji termasuk Mek dan Abang Normi serta isteri mula melapor diri di Kelana Jaya pada jam 11.15am. Kami tiba di Kelana Jaya awal lagi kerana tidak mahu kalut dengan kesesakan lalu lintas dan sengaja ingin berkumpul di sana bersama kaum keluarga yang lain. Alhamdulillah, dari Tmn Sentul Utama ke Kelana Jaya hanya memakan masa kurang dari sejam sejam sahaja dan ambo terus dapat memasuki ke perkarangan kompleks kerana Mek menaiki kereta ambo. Dan parking pun tidak menjadi sebarang masalah. Banyak lagi lot parking yang kosong di belakang kompleks tanpa dikenakan apa-apa bayaran. Dua tahun lepas ambo ke sini juga untuk menghantar Mok Mah (mak sedara). Jauh parkingnya dan bayaran pun dikenakan RM6.00 per entry. Ramai usahawan parking haram yang mengaut keuntungan segera di musim-musim haji begini.

Khemah menempatkan para waris menunggu

Skrin bagi menayangkan urusan haji


Syabas diucapkan kepada pihak Tabung Haji yang menyediakan perkhidmatan yang baik dan lancar untuk para jemaah. TH telah diiktiraf sebagai badan pengurusan haji yang terbaik di dunia. Khemah-khemah untuk waris yang menghantar jemaah banyak disediakan. Di samping kemudahan skrin besar disediakan untuk tatapan para jemaah dan waris yang menayangkan berkenaan urusan haji.

Ustaz Dato' Daud Che Ngah

Teringat ambo pesan Dato’ Mohd Daud Che Ngah, mantan Pengurus Besar TH semasa memberi motivasi kepada bakal-bakal haji di pejabat ambo 4 hari lepas. Cabaran mengerjakan haji pada tahun ini lebih mencabar. Ini kerana gejala H1N1 menular di seluruh dunia. 286 buah hotel di Mekah pula telah diruntuhkan bagi memberi peluang pembesaran dan penyediaan dataran di Masjidil Haram. Permintaan mengerjakan haji bagi warga Malaysia meningkat setiap tahun sehinggakan bagi mereka yang mendaftar haji pada tahun ini hanya akan menerima tawaran pada tahun 2024. Bermakna kena tunggu 15 tahun baru tiba giliran. Kuota Malaysia hanya dihadkan seramai 26,000 jemaah sahaja pada tahun ini. Justeru itu bakal-bakal haji seharus merebut peluang untuk menunaikan haji sehabis baik untuk mendapatkan haji mabrur. Beliau menyaran supaya “Do it right at the first time”. Ini kerana, jika haji tidak mabrur, maka alamak 15 tahun lagi kena tunggu untuk giliran kedua. Kalau umur tahun ini 50 tahun, maknanya umur 65 untuk giliran akan datang. Itupun kalau umur masih panjang dan badan masih lagi sihat. Dikhabarkan ramai para jemaah sebelum ini gagal memperoleh haji mabrur. Bagaimana tanda-tanda haji mabrur? Tepuk dada, tanya iman. Anjakan paradigma harus berlaku setelah kembali tiba di tanah air. Perubahan daripada kurang baik sebelum menunaikan haji kepada lebih baik setelah selesai haji. Daripada kurang beribadah sebelum haji kepada kuat beribadah setelah bergelar haji. Kita sendiri yang dapat menilai. Persediaan dengan ilmu pengetahun cukup penting sebelum berangkat. Lakukan ibadah dengan tertib dan tartil dan jaga perilaku di tanah haram. Berdisiplin, tidak mengeluh dan jaga tutur kata antara perbuatan yang menghasilkan haji mabrur. Jangan sekali-kali marah di tanah suci kerana kita adalah tetamu Allah. Paling penting jangan kembali mencipta dosa –dosa apabila kembali balik ke Malaysia.

Mek merenung jauh


Berbalik semula kepada Mek ambo. Mek akan meninggalkan Pak dan kami semua selama 49 hari. Mek dan Pak tak pernah berpisah sejak hampir 26 tahun perkahwinan. Pak adalah suami ketiga Mek. Ayah ambo dan suami kedua semuanya bercerai mati dengan Mek. Pak merupakan suami yang paling lama dikahwini Mek. Kesihatan Pak dua tiga bulan ini tidak begitu mengizinkan dan sering terlantar di katil. Tapi Pak gagah juga untuk menghantar Mek ke Kelana Jaya. Kasih seorang suami kepada isteri tiada tolok banding. Tiada insan yang setanding dengan Mek. Semoga pengorbanan Mek akan mendapat haji mabrur, InsyaAllah.

Friday, October 23, 2009

Masjid Oh Masjid


Kelmarin macam biasa ambo pulang ke Desa Pinggiran Putra dari pejabat jam 6.15pm melalui Jalan Duta. Niat hati ingin terus ke Sungai Besi melalui depan Istana Negara. Tapi inilah lumrah KL, jalan sesak. Kenderaan 'bumper to bumper'. Tak boleh jadi begini. Fikir ambo kalau terus sesak begini Maghrib terlajaklah gamaknya. Alternatif lain, ambo belok ke KL Sentral menghala ke Bangsar. Ahh.. sesak juga tapi bergeraklah juga. Pernah Dato' Seri Samy Vallo kata dulu "Kalau mahu cepat, kena bayar tol laa.. Masuk tandas pun kena bayar. Mana ada free dalam dunia". Fikir ambo, inilah pengorbanan bagi insan yang bekerja di Bandaraya Kuala Lumpur. Masuk KL arah mana sekalipun kalau nak cepat, kena bayar tol. Tol pun tol lah janji jangan terlepas maghrib. Nak cepat punya pasal, kelmarin ambo bayar tol RM4.10 berbanding biasa RM1.60 tol Sg. Besi-UPM. Hari ni terpaksa bayar dua tol, RM1.60 di NPE dan RM2.50 di Putrajaya Highway. Ni kira sehala. Kalau kira 2 hala banyak wang gaji dibayar ke tol dan petrol. Tak kira maintenance kereta lagi dan jumlah masa dihabiskan dalam kereta seharian. Ada hikmah bila fikirkan rakan2 ambo yang bekerja dekat dengan rumah. Gaji tak besar mana pun. Tapi banyak saving dan masa boleh bersama keluarga. Sempat pulak berjemaah maghrib tiap-tiap hari.Alhamdulillah, ambo dapat juga tiba di Putrajaya jam 7.15pm. Lalu terpandang Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi. Masjid ini baru dibuka pada bulan Ramadhan yang lalu. Tersenggam indah di tepi Tasik Putrajaya. Antara masjid terbesar dan tercanggih di Malaysia. Subhanallah, ambo sangat terpegun.. almaklum first time solat di Masjid Besi. Sampai di tangga masjid terdengar baru saja imam habis mengaminkan doa. Terus ambo mengambil wuduk dan menuju pula ke dewan solat. Ada lagi insan lain baru saja tiba lalu kami bersolat maghrib berjemaah bersama-sama dalam 5 orang. Selesai solat dan berdoa ambo duduk sekejap dan perhati sekeliling dalam masjid. Ustaz nun di depan sana mula memberi tazkirah untuk mengisi ruang yang ada sementara menunggu waktu isyak. Sedih ambo rasa. Mana pergi semua jemaah. Ambo hitung, cuma ada 8 orang termasuk penceramah. Bayangkan masjid yang boleh memuatkan ribuan jemaah, cuma ada 8 orang. Lampu semua ON. Ini tak dikira aircond dan kipas ON. Escalator pun ON juga. Berapa gamaknya wang letrik mengalir dan penyenggaraan sehari berbanding pengisian jemaah pada setiap malam. Usah dikira pada hari Jumaat kerana masjid ini tumpuan pegawai kerajaan dan pelancong. Sayang sekali jika qariah sekeliling tidak merebut peluang untuk mengimarahkan masjid seindah ini. Mungkin benar dikata. Masjid perlu dibina atas dasar taqwa. Bukan untuk bermegah mengatakan masjid kita adalah terhebat, terindah, terbesar semata. Masjid bukan hanya untuk dilawati. Tapi untuk diimarahkan. Benarlah kata pendita Yahudi "Umat Islam tak boleh mengalahkan Israel (Yahudi)selagi mereka tidak bersolat jemaah lima waktu seperti seramai solat Jumaat". Teringat ambo bila di Tanah Suci Mekkah dan Medinah dulu. Lima waktu penuh sentiasa.

Tuesday, October 20, 2009

Lambaian Kaabah



Hari ini seramai 444 jemaah haji akan menyertai penerbangan pertama ke Tanah Suci (TS). Perasaan gembira jelas terbayang dimata mereka. Mek (ibu) ambo pula sejak 2 minggu lepas sudah buat persiapan rapi untuk berangkat ke tanah suci. Tanggal 26 Oktober 2009, minggu depan beliau bersama-sama rombongan Tmn Sentul Utama akan berangkat dalam penerbangan KT22. Sudah lama hasrat Mek untuk ke TS, tapi mungkin belum ada rezeki beliau. Tahun ni baru terpilih. Diusia emas ini Mek dipilih buat pertama kali oleh Allah s.w.t. Ambo tumbang gembira. Kebetulan usia 63 tahun Mek sama dengan usia arwah Mok (nenek) berangkat pada awal 80an. Pada ambo, Mek seorang ibu yang paling cekal. Teringat ambo bila kenangkan jerih perit Mek buat kerja-kerja kampung dahulu kala. Ambo ikut di belakang mek menoreh getah & kerja bendang semua Mek buat. Hanya untuk bekalan untuk kami adik-beradik. Almaklum ayah pergi kerahmatullah sejak ambo berusia 40 hari lagi. Kini ambo sudah besar panjang. Mek nak ke TS tapi selalu tertangguh. Pengorbanan Mek pada kali ini sangat besar. Terpaksa meninggalkan Pak (bapa tiri ambo) yang terlantar sakit tua. Usianya hampir 100 tahun. Kalau ikut hati kecil Mek, tak sampai hati beliau ingin ke TS bila melihat Pak. Tapi itu semua kerja tuhan. Allah dah pilih Mek. Pak, anak-anak lain boleh uruskan. Mek tetap akan pergi tahun ini. Kaabah pasti akan didampingi oleh Mek. Lambaian dinanti. Hampir pasti InsyaAllah.

Friday, October 16, 2009

Kini bermula

Alhamdulillah.. hari ini 30 Syawal 1430H, ambo terasa terpanggil untuk bersama-sama insan lain melayari alam cyber ini. Sebenarnya niat ini dah lama terpendam. Namun kesibukan tugas yang begitu mendesak menyebabkan hasrat ini tertangguh beberapa kali. Terfikir jugak dibenak fikiran. Bila ambo nak mula ni. Sahabat-sahabat lain dah lama jauh kedepan. Ini tak boleh jadi.. entah esok atau lusa mungkin tak sempat. Roh akan pergi.
Tiada apa yang ambo ingin perkatakan. Namun, sekadar ingin menyahut seruan di atas bagi memperbanyakkan syer akhirat. Sekadar berkongsi mana yang baik daripada pemerhatian dan pengajian daripada ustaz-ustaz dan tok-tok guru daripada pelbagai bidang. Nak mengajar ambo kurang ilmu. Sedekah pun tak banyak. Anak2 pun masih kecik lagi. Melalui alam cyber ini InsyaAllah sama-sama kita mengambil manfaat sesuai dengan tema dan tajuk bloq ini..."Sampaikan Walaupun Satu Ayat".